Apa Yang Perlu Sebenarnya Untuk Permulaan Membela Ikan Hiasan?


Assalammualaikum, salam sejahtera.




Kali ini saya nak kongsikan, Apa Yang Perlu Sebenarnya Untuk Permulaan Membela Ikan Hiasan?




Untuk membela ikan hiasan, kita perlu menyiapkan semula keperluan dan kelengkapan ikan tersebut. Daripada jenis ikan, akuarium, aksesori, ubat ikan dan lain-lain. Seperti manusia memerlukan rumah pakaian dan kelengkapan, begitu juga haiwan atau ikan hiasan itu sendiri. Sebagai permulaan, sebenarnya tidaklah begitu rumit apa yang perlu dibeli, cuma ada beberapa perkara yang penting dan yang lain hanyalah sekadar aksesori atau hiasan yang mana sedap mata memandang. Tetapi ikan perlukan rawatan yang baik, dari segi penapisan air, oksigen, anti-klorin dan yang paling penting adalah makanan ikan itu sendiri, ingat, berdosa seseorang yang membiarkan ikannya mati kerana tidak makan.

Apa yang perlu sebenarnya untuk permulaan membela ikan hiasan ni? InsyaAllah, saya akan kongsikan apa yang saya tahu, cuma penulisan saya bukanlah yang terbaik.

  • Perkara yang pertama (bagi pendapat saya) adalah jenis ikan yang kita nak bela. Sebab apa? Tidaklah semua ikan itu boleh hidup bersama. Kita perlu tahu setiap kehidupan ada mangsa dan ada pemangsa, yang besar makan yang kecil, yang lemah akan dibuli (wow..haha). Ikan juga ada kehidupan yang begitu, kalau kita bela ikan besar, jangan campurkan dengan ikan yang kecil. Sebagai contoh, bela ikan Tilapia, jangan pula kita campur dengan ikan Guppy. Ya, pada mulanya nampak seperti boleh, akan tetapi bila ianya semakin membesar dan terus membesar, dengan hanya sekali ‘ngap’ sahaja ikan Guppy anda akan lesap, hari ini tengok ada dua, esok tengok tinggal satu. Ikan Guppy juga tidak digalakkan campur sekali dengan ikan Tiger Barb, ini kerana Tiger Barb sangatlah agresif. Percayalah jika anda beli Guppy mahal sekali pun, ekor cantik, dalam masa sehari sahaja ekor ikan Guppy anda digigit oleh Tiger Barb. Cuma saya perlu jelaskan sekali lagi ya, bukan tidak boleh tapi tidak digalakkan, kalau anda ingin campur juga, tidaklah menjadi masalah sebab saya pun pernah campur sekali dalam satu akuarium, seperti yang saya beritahu tadi, ekornya tidak akan cantik. Apa yang penting dalam perkara pertama ini adalah pemilihan ikan yang betul. Kalau anda nak bela ikan sungai contoh seperti Tilapia, Jelawat, Patin dan lain-lain, bolehlah campur sekali. Kalau anda nak ikan Guppy, bolehlah campur dengan ikan Tetra, ikan Mas atau ikan yang tidak agresif. Boleh tanya tauke yang jual ikan itu, biasanya dia akan tegur kalau anda beli ikan yang tidak boleh campur Bersama atau tidak sesuai.

  • Perkara yang ke-dua adalah pemilihan akuarium. Akuarium ini tersangatlah penting selepas anda fikir apa ikan apa yang anda nak beli atau bela. Sebab apa? Selepas anda tahu ikan jenis apa yang patut anda bela, anda perlu tahu saiz ikan yang anda nak bela. Sebagai contoh, kalau anda nak bela se-ekor ikan Laga, 1x1 kaki akuarium pun sudah memadai. Tetapi jika anda nak bela ikan Guppy berekor-ekor, anda memerlukan akuarium sekurang-kurangnya 2x1 kaki. Ingatnya, paling kurang. Berbeza pula kalau anda nak beli ikan sungai seperti ikan Tilapia dan lain-lain, anda memerlukan 4x2(bergantung jumlah ikan yang nak dibela) kerana ikan sungai sangat cepat membesar. Tilapia jika anda beri makan yang cukup atau anda beli udang hidup sebagai makanan, Tilapia akan membesar dengan lebih cepat, dan bentuk badannya juga agak besar. Jadi, disini sangat mainkan peranan, kebergantungan pemilihan akuarium adalah keputusan anda dalam perkara yang pertama tadi(pemilihan ikan). Buat keputusan ikan apa yang nak dibela kemudian akuarium apa yang perlu dibeli, supaya ianya sesuai dengan ikan anda.

  • Perkara yang ke-tiga adalah membeli ubat-ubatan ikan. Apa benda ubat-ubatan ikan ini? Sebenarnya banyak sangat ubat-ubatan ikan ini, tapi apa yang perlu anda tahu untuk membela secara biasa dan permulaan adalah Anti-Klorin dan Anti White Spot. Anti-Klorin penutup hijau manakala Anti-White Spot penutup berwarna biru. Untuk apa Anti-Klorin ini? Setiap air paip mempunyai klorin, tugas Anti-Klorin untuk neutralkan kandungan klorin. Anti White Spot pula bertujuan untuk merawat penyakit White Spot, kebiasannya penyakit ini terkena pada ikan dan boleh membawa maut pada ikan yang terkena. Jadi, beli kedua-dua ubat ini. Murah sahaja.

  • Perkara yang ke-empat adalah oksigen dan penapis air yang sesuai. Terdapat banyak penapis air akuarium dipasaran, apa yang penting ialah anda perlu cari yang bersesuaian. Beli yang sedikit mahal supaya kandungan air yang disedut dengan banyak dan baik. Cuma perlu juga anda lihat saiz akuarium dan saiz ikan, disini anda sekali lagi perlu melihat perkara satu dan perkara dua untuk mencari kesesuaian penapis air dan pam air. Apabila pam air terlalu kuat, sedutan pam juga akan kuat, yang mana pam boleh menyedut ikan-ikan kecil anda dan akan melekat sehingga anda tersedar dan ikan anda sudah pun mati. Tetapi, jika anda membeli penapis air atau pam air yang terlalu kecil, pam air tidak dapat menyedut kotoran yang jauh dari pam air, ini akan menyebabkan air akuarium anda akan kotor. Kalau ikan anda jenis yang besar, lagi cepat air akuarium akan kotor. Anda boleh tanya tauke kedai tersebut apa yang sesuai, atau boleh buat carian apa yang sesuai.

  • Perkara yang ke-lima adalah aksesori. Dalam perkara ini, anda bebas untuk memilih apa sahaja yang anda berkenan, cuma apa yang penting bagi saya ialah pasir atau batu. Kalau anda tidak meletakkan pasir atau batu akuarium, bawah akuarium nampak tidak cantik sebenarnya, lagipun saya suka nampak ala-sungai macam itu. Dan juga anda perlu membeli kayu, ini juga seakan wajib untuk dibeli sebenarnya, kalau tanya saya kenapa, saya tidak ada jawapannya. Tapi apa yang pasti ialah anda perlu membelinya, haha. Kalau tidak beli pun tidak mengapa. Kemudian, pastikan apa yang anda beli muat untuk masuk kedalam akuarium anda, jangan anda beli banyak-banyak kemudian tidak muat atau semak sehinggakan ikan nak berenang pun tidak boleh. Beli jangan ikut nafsu. Marah ikan tu, pembanggunan pesat kata hatinya, haha. Lampu juga aksesori yang patut anda beli, sebab manalah tahu malam-malam anda nak minum kopi sambil lihat ikan berenang. Sebenarnya bagi saya ikan ini seolah-olah terapi mata untuk kita. Lenggok ikan, kemudian lihat ikan berenang, ada pula anak ikan yang dilahirkan oleh ikan yang kita beli. Keseronokkan itu akan datang.

Saya rasa perkara ini sahaja yang saya dapat kongsikan, saya bukanlah pakar atau hebat atau juga ahli dalam bidang membela ikan hiasan ini, cuma sekadar perkongsian sahaja dan berdasarkan pengetahuan terhad yang saya ada sahaja. Jadi, apa yang penting adalah jaga ikan hiasan anda sebaik mungkin, jangan sampai tidak bagi makan dan mati pula. Kalau anda seorang yang baharu ingin cuba, ikan mati itu sudah seperti suatu kebiasaan pada awalnya, tetapi jangan ambil tidak kisah pula. Perbaiki kesalahan anda, fikir semula apa sebab ikan anda mati. Selamat membela ikan.

Sekian.

Apa Yang Perlu Sebenarnya Untuk Permulaan Membela Ikan Hiasan?

Assalammualaikum, salam sejahtera. Kali ini saya nak kongsikan, Apa Yang Perlu Sebenarnya Untuk Permulaan Membela Ikan Hiasan? ...